Tuesday, December 30, 2008

Pengumpulan Harta

Secara asasnya, manusia adalah khalifah di atas muka bumi Allah ini. Manusia telah ditaklifkan Allah untuk mentadbir alam ini dengan seadilnya. Sebab itulah Allah menurunkan agama Islam sebagai landasan kehidupan manusia. Dalam Islam yang terdiri di dalamnya 3 komponen utama iaitu akidah, syariah dan akhlak.

Dalam akidah, umat Islam terikat dengan konsep mengenal Allah Taala sebagai tuhan yang disembah dan tiada yang disembah selain daripadanya.

Manakala dalam syariah inilah pelbagai peraturan hidup dan undang-undang telah ditentukan oleh Allah bagi mengatur setiap aktiviti umat Islam agar tidak lari daripada landasan yang telah diatur oleh Allah. Dalam syariah inilah terangkum di dalamnya fiqh ibadat, fiqh munakahat, fiqh muamalat dan fiqh jenayah dan perlantikan pemimpin.

Adapun daripada aspek akhlak pula, akhlak adalah hasil yang lahir daripada kesempurnaan pelaksanaan perintah Allah dalam akidah dan syariat.

Itu secara asas yang perlu difahami oleh setiap muslim.

Kembali kepada topik asal, perbincangan tentang pengumpulan dan pengagihan harta. Sedikit sebanyak ia telah termaktub dalam fiqh muamalat. Fiqh muamalat bermaksud transaksi, komunikasi dan perlakuan umat Islam dalam aktiviti antara seorang muslim dengan muslim atau seorang muslim dengan bukan muslim. Jadi, Allah telah menentukan kaedah-kaedah dan cara bagi manusia menjalani aktiviti tersebut.

Daripada awal telah ana nyatakan, manusia adalah khalifah di atas muka bumi ini. Alam bumi ini kaya dengan segala kurniaan Allah yang dikurniakan atas nama Rahman dan Rahim Allah. Jadi, segala kurniaan Allah semestinya perlu ditadbir dan diurus dengan bijaksana dan adil sama ada daripada cara kita mengumpulkan atau mengagihkan apa sahaja yang kita dapati daripada alam ini.

Islam tidak sesekali melarang umatnya mengumpul harta. Kerana keperluan manusia untuk meneruskan kehidupan yang memerlukan sumber pendapatan yang berhajatkan kepada pengumpulan harta tersebut.

Dalil atau bukti banyak dinyatakan dalam al-Quran dan Hadith tetapi tak dapat ana sebut dengan jelas di sini. Salah satu hadith ada dinyatakan Rasulullah bahawa kita akan ditanya di padang mahsyar kelak tentang beberapa perkara; salah satunya tentang harta. Daripada sumber mana yang kita dapat dan ke mana kita belanjakan. Daripada kefahaman hadith ini, jelas kepada kita bahawa mengumpul harta tidak salah tetapi yang dipersoalkan ialah sumber yang kita dapat dan di mana kita infaq atau belanjakan.

Di bawah ini, ana senaraikan serba sedikit tentang sumber pengumpulan harta:

1.al-buyu' (jual beli/perniagaan) ertinya satu akad untuk menukar sesuatu dengan sesuatu yang lain dan dipersetujui bersama.
Hukumnya adalah disyariatkan Allah.
Dalil: al-Baqarah ayat 275.
Hikmat disyariatkan jual beli ialah memenuhi keperluan dan hajat manusia untuk mendapatkan sesuatu yang diperlukan tanpa mendatangkan kemudoratan.

2.as-syarikah (syer perniagaan) ertinya berkongsi dua orang atau lebih pada apa yang harus dilaburkan dengan kadar harta untuk dikembangkan harta tersebut dan dibahagikan dengan kadar yang disepakati.
Hukumnya adalah disyariatkan Allah.
Dalil: an-Nisa' ayat 12

3.al-mudorobah (pelaburan) ertinya seseorang yang mempunyai modal dan memberikannya kepada orang lain untuk dilaburkan dengan pembahagian tertentu.
Hukumnya: Disyariatkan dengan Ijmak para sahabat dan para pemimpin umat Islam di atas mengharuskan mudorobah. Dan sesungguhnya mudorobah juga diamalkan pada zaman Rasulullah dan baginda mengakuinya.

4.al-muzaroah (pertanian) ertinya seorang lelaki membayar seseorang yang lain untuk mengerjakan tanah yang dimilikinya dengan sebahagian ganjaran yang disepakati.
Hukumnya: Jumhur para sahabat, Tabi'in dan pemimpin umat Islam.

5.al-ijarah (sewa) ertinya satu akad yang diadakan untuk mendapat manfaat tempoh tertentu dengan bayaran tertentu.
Hukumnya harus.
Dalil: al-Kahfi ayat 77

6.al-jua'lah (upah) ertinya seseorang membayar seseorang yang lain untuk melakukan sesuatu kerja dengan bayaran yang tertentu.
Hukumnya harus.
Dalil: Yusuf ayat 72

Rujukan: Minhaj al-Muslim
Pengarang: Abu Bakar Jabir al-Jazairi
Terbitan: Maktabah Darus Salam
Bab Muamalat: muka surat 283-306

Monday, December 29, 2008

Kedamaian, Keadilan, Kebebasan, Toleransi dan Kasih Sayang dari Kaca Mata Islam

Temubual bersama
Ustaz Mohd Rodzi Bin Mahmud
Guru Pendidikan Islam (B.Sya. (Hons) Universiti Al-Azhar)

En. Zuraidi :Assalamualaikum

Ustaz Rodzi :Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh

En. Zuraidi :Apakah pandangan ustaz tentang Islam dan kedamaian?

Ustaz Rodzi :Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Taala yang telah menyatukan umat manusia di atas nikmat Islam dan iman sebagai landasan terbaik untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Pertamanya, terima kasih di atas kesudian saudara menemubual ana. Di sini ingin ana nyatakan bahawa ana bukanlah seorang yang berilmu tetapi hanyalah sekadar berkongsi secebis ilmu yang Allah kurniakan. Berbalik kepada persoalan yang telah diutarakan tadi…

Apakah yang menjadikan Islam sebagai agama kedamaian? Secara asasnya nama Islam itu sendiri merupakan suatu hal yang amat unik. Buat pertama kali dalam sejarah agama di dunia bahwa ada agama yang secara harfiah (sebutan) yang membawa maksud kedamaian.

Perkataan Islam memiliki dua pengertian, pertama adalah tunduk dan penyerahan diri secara total kepada kehendak dan perintah Allah dan kedua, ertinya adalah kedamaian. Dapat ana tegaskan di sini, Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t sendiri. Allah s.w.t mempunyai pelbagai nama dan salah satunya adalah As-Salam yang bererti Pembawa Kedamaian.

Orang yang beriman kepada Islam disebut Muslim. Definisi dari seorang Muslim adalah seseorang yang sepenuhnya damai dengan dirinya sendiri dan yang mengembangkan kedamaian dalam masyarakat. Sebuah definisi yang menarik tentang erti kata Muslim diberikan oleh penegak agama Islam iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang menyatakan:

“Seorang Muslim adalah seorang yang dari tangan mahu pun lidahnya membolehkan semua orang menikmati keamanan dan keselamatan” (Riwayat Bukhari)

Dalam maksud sebenar, hanya orang yang tidak mendatangkan mudharat bagi orang lain sahaja yang boleh dikatakan sebagai Muslim.

Namun begitu, Islam sering menjadi mangsa fitnah dan tuduhan serta serangan yang tidak pernah padam. Semenjak dari zaman kelahirannya, Islam menjadi bahan tohmahan dengan pelbagai gambaran buruk seperti penganjur perpecahan, menggalakan diskriminasi terhadap kaum wanita, mempromosikan undang-undang yang kejam, membawa kepada kemunduran dan pelbagai lagi tuduhan. Malah Nabi Muhammad s.a.w seringkali ditohmah dengan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas sama sekali.

Hakikatnya Islam yang sinonim dengan maksud sejahtera dan keamanan adalah agama yang mempromosikan kedamaian di dalam setiap aspek ajarannya. Jika diteliti dan dihayati setiap sudut dari syariat Islam semuanya adalah berteraskan konsep harmoni dan kedamaian. Sebagai contoh, konsep aqidah dalam ajaran Islam adalah berteraskan kepada kewarasan akal yakni meyakini bahawa hanya ada satu tuhan sahaja yang layak disembah iaitu Allah. Manakala dari segi ibadat pula hendaklah tiada jurang atau perbezaan di kalangan sesama manusia di dalam beribadat.

En. Zuraidi :Bagaimana pula dengan konsep keadilan dalam Islam?

Ustaz Rodzi : Adil bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Lawan perkataan adil ialah zalim. Contoh mudah ialah meletakkan air dalam tangki minyak yang sudah tentu boleh menyebabkan kerosakan pada sesuatu enjin atau kenderaan. Itu zalim namanya.

Ana ingin sebut di sini, sebagai seorang muslim perlu menjaga perkara asas yang lima iaitu; menjaga agama, menjaga diri, menjaga harta, menjaga maruah/keturunan dan menjaga akal. Islam diturunkan oleh Allah untuk menjaga keadilan sejagat. Bukan sekadar untuk menjaga keadilan untuk manusia bahkan keadilan juga perlu untuk makhluk-makhluk Allah yang lain. Ini kerana satu daripada maqasid syar’iyah (prinsip syariat) adalah menegakkan keadilan di atas muka bumi Allah ini.

Allah menyatakan di dalam Al-Quran “ Dan hendaklah kamu menetapkan sesuatu hukuman dengan adil” dan banyak lagi ayat-ayat Al-Quran dan Hadith menegaskan tentang pentingnya keadilan dalam beragama.

Kadangkala kita terlepas pandang dalam mempraktikkan keadilan dalam diri kita. Sebagai contoh untuk menjaga agama, kita perlu menunaikan setiap amal ibadah yang telah Allah pertanggungjawabkan. Ini kerana sekiranya kita tidak menunaikan tanggungjawab tersebut balasan dosa akan diberatkan ke atas kita. Jadi kita menzalimi diri kita. Dalam contoh yang lain, Islam menitikberatkan menjaga maruah dan keturunan. Jadi Islam menetapkan haram kita melakukan hubungan luar nikah (zina). Itu juga menyebabkan kita menzalimi diri kita. Sebagai jalan keluar untuk menjaga maruah dan keturunan adalah melalui pernikahan.

Begitu juga dalam aspek-aspek kehidupan yang lain. Dalam aspek ekonomi, Islam mengharamkan riba kerana ia menindas golongan yang memerlukan. Tidak boleh membuat keuntungan melalui duit dengan duit. Namun, Islam amat menggalakkan perniagaan walaupun ia melibatkan keuntungan yang banyak. Dalam aspek pendidikan, adakah adil sekiranya hanya segelintir manusia sahaja yang berpeluang untuk mendapatkan pelajaran. Sedangkan wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah Iqra’ (Bacalah). Manakala dalam aspek sosial, konsep Islam lebih luas untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni. Baik untuk umat Islam mahupun bukan Islam. Dalam hal ini, prinsip kesamarataan sesama insan diamalkan kerana yang baik di sisi Allah adalah sesiapa yang paling kuat taqwanya kepada Allah Taala.

En. Zuraidi : Saya nak tanya lagi ni…Apakah yang dapat didefinisikan dengan kebebasan dalam Islam?

Ustaz Rodzi :Bebas ertinya merdeka daripada sebarang kekangan. Sebab itu hamba yang dibebaskan bermaksud merdeka daripada tindakan dan arahan tuan yang memilikinya. Islam datang kepada kita untuk mengelarkan kita daripada belenggu kejahilan kepada berilmu pengetahuan. Daripada gelap gelita kepada cahaya. Daripada kezaliman kepada keadilan. Daripada kemunduran kepada kemajuan. Dan yang lebih penting Islam datang untuk mengeluarkan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah Taala. Ertinya manusia yang beragama Islam yang disebut muslim itu bebas daripada gelap gelita, kejahilan, kemunduran, kezaliman dan sebagainya yang menyebabkan kehidupan manusia terkongkong.

Islam memberikan kebebasan untuk umatnya terus menuntut ilmu, terus berniaga, terus mereka cipta dan segalanya untuk memenuhi keperluan manusia sepanjang masa. Islam tidak menghadkan perlakuan dan aktiviti manusia. Ini kerana dalam Islam setiap amal perbuatan muslim yang boleh mendatangkan kebaikan sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk orang lain adalah dikira sebagai ibadah. Namun, kebebasan seorang muslim perlu dijaga bagi mengelakan daripada tersasar dan menyimpang daripada ajaran-ajaran Islam. Sebagai contoh, dalam kebebasan bersuara kita dilarang daripada mengungkapkan kata-kata yang boleh meyebabkan kita murtad. Manakala dalam kebebasan kelakuan, kita dilarang daripada menyembah berhala, matahari dan sebagainya yang menyebabkan kita syirik kepada Allah.
Contoh yang jelas tentang kebebasan dalam beragama dalam kita berdakwah kepada orang kafir ialah tiada paksaan dalam agama Islam. Perlu diperhatikan bahwa Islam sejak awal sudah menyatakan dan pernyataan ini berlaku sepanjang zaman serta ditujukan kepada segenap manusia. Al-Quran jelas menyatakan:
“Tidak ada paksaan dalam agama” (Al-Baqarah:257)

Bila kita telah memiliki ajaran Islam yang cantik dan indah, maka kita tidak akan memerlukan cara kekerasan atau pun pemaksaan. Islam tidak mengizinkan penggunaan kekerasan untuk menarik orang ke dalam agama.

Islam menegakkan dan menjamin kebebasan memilih, baik dalam cara beribadah, cara pengembangan mau pun pelaksanaan agama. Sesiapa yang memilih untuk beriman maka ia akan mendapat ganjaran, sedangkan mereka yang tidak mahu beriman juga tidak akan dipaksa untuk itu.


En. Zuraidi :Menarik untuk dikupaskan…terima kasih ustaz. Bagaimana pula pandangan Islam tentang toleransi?

Ustaz Rodzi :Islam menekankan keimanan kepada semua nabi dari semua agama dan kepada kitab-kitab suci yang diwahyukan oleh Allah kepada mereka. Islam berpandangan bahwa semua agama besar iaitu yahudi dan nasrani (kristian) pada awal pembentukannya pasti didasarkan pada kebenaran dan tetap mengandung nilai-nilai luhur. Islam menolak anggapan yang menyatakan bahwa agama lain tidak akan membawa keselamatan. Semua agama besar dihargai dan dihormati dengan baik. Umat Muslim diwajibkan menghormati tempat-tempat ibadah agama lain. Rasa hormat juga ditunjukkan kepada ahli kitab serta nabi pendiri agama mereka.
Itu secara dasar dan asasnya. Islam menggalakkan sikap toleransi atau tolak ansur dalam segenap keputusan yang dibuat. Namun, sikap toleransi ini bukanlah bermaksud secara sewenang-wenangnya. Toleransi dalam Islam adalah perlu tetapi tidak sampai menggadaikan prinsip dan syariat dalam Islam. Dalam Surah al-Kafirun ayat 1-6 jelas menyebut tentang konsep toleransi.
“ Katakanlah wahai Muhammad, wahai orang-orang yang tidak beriman!(1) Aku tidak akan sembah apa yang kamu sembah(2) Dan kamu tidak sembah Allah yang aku sembah(3) Dan aku tidak akan sembah apa yang telah kamu sembah(4) Dan kamu tidak sembah Allah yang aku sembah(5) Maka bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku(6)

En. Zuraidi : Satu soalan lagi ustaz, Bagaimanakah konsep kasih sayang pada pandangan Islam?
Ustaz Rodzi : Rasulullah ada menyatakan dalam hadith: “Sesiapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi”. Dalam hadith yang lain: “ Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga ia kasih pada saudaranya sepertimana apa yang dia kasihi”.
Islam agama kasih sayang. Kerana itulah Islam amat menekankan tentang konsep kasih sayang. Kasih pada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kita juga percaya bahawa hanya dengan kasih sayang yang cukup dapat melahirkan insan yang mempunyai jati diri, wibawa, ketrampilan dan unggul sepertimana yang dikehendaki agama Islam.
Kasih pada ibu bapa, cinta pada isteri dan sayang pada anak pada hakikatnya terus berlangsung sepanjang hayat dikandung badan. Begitu juga kasih sayang sesama umat Islam sewajibnya utuh dan erat sepanjang masa dan diperkukuhkan tali persaudaraan. Bahkan jika kita tidak bertegur sapa dengan saudara sesama Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya sudah pun jatuh haram.

Ternyata amalan atau budaya Islam jauh lebih baik daripada budaya asing yang semakin banyak menghiasi pentas kehidupan umat Islam.
Islam menggalakkan umatnya kasih- mengasihi sesama mereka dengan mengamalkan budaya menyebarkan salam, saling bertukar hadiah, ziarah-menziarahi, berkongsi suka-duka, tumpang bersyukur kesenangan dan bersimpati apabila ditimpa malapetaka.
Rasulullah S.A.W kerap menziarahi orang sakit dan tidak ketinggalan mengunjungi orang yang meninggal dunia biarpun berlainan kaum atau agama. Malah, perbezaan agama, kaum atau keturunan tidak menyebabkan permusuhan dan pertelagahan kaum. Sebaliknya, mereka saling bantu membantu, bekerjasama dan berganding bahu untuk membangunkan Madinah ketika itu. Perbezaan akidah atau agama bukan penghalang ke arah mewujudkan hubungan kemanusiaan yang harmoni dan akrab.

Dalam erti kata lain, berkasih sayang menurut perspektif Islam amat luas dan tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja. Wallahua’lam.

En. Zuraidi : Terima kasih banyak-banyak ustaz atas penjelasan yang diberikan.

Ustaz Rodzi : Sama-sama... Mudah-mudahan perjumpaan kita dirahmati dan diberkati Allah Taala.

Maal Hijrah - Kilauan Sinar Pembuka Harapan

"Masa tidak pernah ingkar. Sentiasa taat bergerak dari satu saat ke saat yang lain seiring dengan kehendak Tuhannya Yang Maha Esa. Tidak pernah alpa walau sedetik. Tidak pernah berhenti walau sesaat. Cukup patuh dan tidak pernah lalai.Kita sebagai manusia yang selalu leka dan lupa sepatutnya memerhatikan serta memikirkan kejadian-kejadian Allah S.W.T.
Sebenarnya tidak kurang banyaknya kejadian-kejadian Allah S.W.T yang boleh di jadikan sebagai pedoman dan panduan hidup.Antaranya kejadian masa seperti yang diceritakan tadi. Kita boleh menjadikan ketaatan masa pada Tuhannya sebagai satu sumber inspirasi untuk menjadi insan yang lebih patuh pada Rabnya. Menjadi insan yang lebih gigih meneruskan kehidupan walaupun pelbagai ranjau dan halangan terpaksa ditempuhi.
Masa terus maju dan maju sehinggalah hampirnya kita pada tanggal 1 Muharam atau lebih dikenali sebagai Ma’al Hijrah.Marilah sama-sama kita imbas kembali peristiwa yang berlaku di sebalik sambutan Ma'al Hijrah.
Satu ketika dahulu ketika islam semakin berkembang luas di Mekah, para pemuka-pemuka Quraisy telah mengadakan satu perjumpaan untuk membincangkan tentang islam, umat islam dan Nabi Muhammad S.A.W atas sebab mereka merasakan perkara ini boleh membawa kesan yang buruk kepada Kaum Musyrikin Mekah. Perjumpaan tersebut telah diadakan pada 26 safar pada tahun ke 14 kenabian di Dar An-Nadwah.Turut sama hadir di dalam perjumpaan itu juga iblis yang menyamar sebagai Sheikh An-Najd (seorang tua dari An-Najd) untuk turut sama memberikan usul-usul jahat. Pada akhir perjumpaaan tersebut telah diterima pendapat Abu Al-Aswad yang mencadangkan agar Rasulullah S.A.W di buang negeri dan Abu Al-Muktari yang mencadangkan Rasulullah S.A.W dipenjarakan.
Perkara tersebut diketahui oleh Rasulullah S.A.W apabila Allah S.W.T menyampaikan wahyu mengenai perkara itu melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s.Apabila berita tersebut diketahui Rasulullah S.A.W, baginda telah mengkhabarkan perkara tersebut pada sahabat karibnya Abu Bakar As-Siddiq a.s. Kemudian, mereka telah berkemas-kemas dan bersiap-siap untuk berhijrah ke Madinah atau pada ketika itu dikenali sebagai Yathrib. Rasulullah S.A.W telah memilih Saidina Ali untuk berbaring di tempat tidurnya pada malam baginda dan Abu Bakar hendak bertolak ke Madinah sebagai mengabui mata para kaum musyrikin Mekah yang hendak membunuhnya pada malam itu.
Kesan daripada helah tersebut maka berjayalah Nabi Muhammad S.A.W dan Abu Bakar melepaskan diri ke Yathrib tanpa di sedari walau seorang pun daripada mereka.Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar telah menuju ke arah selatan untuk menuju ke Gua Thur seraya tidur di sana selama 3 malam. Selama mereka berada di sana Asma' dan Aisyah telah membawakan bekalan makanan untuk mereka, manakala Abdullah bin Abu Bakar pula menjadi perisik pada mereka untuk mengetahui sebarang berita atau perkhabaran tentang Musyrikin Mekah dan Amir bin Fuhaira' pula menggembala kambing di sepanjang laluan yang di lalui Rasulullah dan Abu Bakar untuk menghilangkan segala kesan-kesan perjalanan.
Kaum Quraisy yang kecewa di atas kegagalan mereka menjejaki 2 orang yang amat dikehendaki itu telah menawarkan 100 ekor unta kepada sesiapa sahaja yang mampu menjejaki mereka. Tawaran lumayan tersebut telah menarik minat Suraqah bin Malik yang telah berjaya menemui jejak-jejak mereka. Walau bagaimanapun hajat besar Suraqah bin Malik tidak kesampaian apabila beliau dan unta yang di tungganginya rebah ke bumi ketika dalam proses menjejaki Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar.Nabi Muhammad S.A.W telah meneruskan perjalanannya bersama Abu Bakar dengan melalui beberapa perkampungan yang di antaranya ada yang bernama Tihama'.
Walaupun pelbagai rintangan dan ujian terpaksa di lalui seperti ancaman binatang buas, binatang berbisa, melalui batu-batu kapur, lembah yang curam dan sebagainya mereka tetap terus menggagahkan diri dengan hanya berbekalkan iman dan ketakwaan kepada Allah S.W.T.Akhirnya Rasulullah S.A.W telah tiba di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiul Awwal tahun ke 14 Kenabian, sebahagian ulama' mengatakan hari tersebut bertepatan dengan 12 Rabiul Awwal. Baginda telah menetap di sana selama 4 hari serta mendirikan Masjid Quba'.Maka pada hari Jumaat, 16 Rabiul Awwal bergemalah alunan "Tola'al Badru 'Alaina" yang merupakan laungan nasyid selamat datang yang dialunkan khas daripada mereka untuk menyambut kedatangan Nabi Muhammad S.A.W diikuti laungan takbir.
Rasulullah bersembahyang juma'at di Yathrib dan menukarkan Yathrib kepada Madinaturrasul atau Al-Madinah. Maka dengan rasminya tertegaklah negara islam Madinah dan dari saat itu jugalah bermulanya penyebaran islam ke seluruh dunia.
Oleh yang demikian, sempena kita menyambut Ma'al Hijrah sama-samalah kita imbas kembali segala jerih payah Rasulullah S.A.W menempuhi segala ranjau dan duri untuk berhijrah ke Madinah demi melihat islam tetap teguh berdiri sekaligus menjadikan ia satu titik tolak pada kita untuk berazam menjadi seorang islam yang lebih ta'at pada syariat islam menjelang Awal Muharam ini.
Salam Ma'al Hijrah..