Monday, March 2, 2009

Siri Muhammad Rasulullah: Perkahwinan Abdullah dengan Aminah

Usia Abdul Muttalib sudah hampir mencapai tujuh puluh tahun atau lebih tatkala Abrahah mencuba untuk menyerang Mekah dan menghancurkan Rumah Purba.

Ketika itu umur anaknya Abdullah sudah berusia dua puluh empat tahun, dan sudah tiba masanya untuk dikahwinkan. Pilihan Abdul Muttalib jatuh kepada Aminah bint Wahab bin Abd Manaf bin Zuhra, (pemimpin suku Zuhra) ketika itu yang sesuai pula usianya dan mempunyai kedudukan terhormat.

Maka pergilah anak-beranak itu hendak mengunjungi keluarga Zuhra. Abdul Muttalib dengan anaknya menemui Wahb dan melamar puterinya. Sebahagian penulis sejarah berpendapat, bahawa ia pergi menemui Uhyab, bapa saudara Aminah, sebab waktu itu ayahnya sudah meninggal dan dia di bawah jagaan bapa saudaranya.

Pada hari perkahwinan Abdullah dengan Aminah itu, Abdul Muttalib juga berkahwin dengan Hala, puteri bapa saudaranya. Dari perkahwinan ini lahirlah Hamzah, bapa saudara Nabi yang seusia dengan baginda.

Abdullah dengan Aminah tinggal selama tiga hari di rumah Aminah, sesuai dengan adat kebiasaan Arab bila perkahwinan dilangsungkan di rumah keluarga pengantin perempuan. Sesudah itu mereka berpindah bersama-sama dengan keluarga Abdul Muttalib. Tidak berapa lama kemudian Abdullah pun pergi dalam suatu usaha perdagangan ke Syria dengan meninggalkan isteri yang sedang hamil.

Berkaitan hal ini masih terdapat beberapa keterangan yang berbeza: adakah Abdullah berkahwin lagi selain dengan Aminah; adakah wanita lain yang datang menawarkan diri kepadanya? Rasanya tak ada gunanya menyelidiki keterangan-keterangan semacam ini. Yang pasti ialah Abdullah adalah seorang pemuda yang tegap dan tampan. Bukan hal yang luar biasa jika ada wanita lain yang ingin menjadi isterinya selain Aminah. Tetapi setelah perkahwinannya dengan Aminah itu hilanglah harapan yang lain walaupun untuk sementara. Siapa tahu, barangkali mereka masih menunggu ia pulang dari perjalanannya ke Syam untuk menjadi isterinya di samping Aminah.

Dalam perjalanannya itu Abdullah tinggal selama beberapa bulan. Dalam pada itu ia pergi juga ke Gaza dan kembali lagi. Kemudian ia singgah ke tempat saudara-saudara ibunya di Yathrib (Madinah) sekadar beristirahat sesudah merasa letih selama dalam perjalanan. Sesudah itu ia akan kembali pulang dengan kafilah ke Mekah. Akan tetapi kemudian ia menderita sakit di tempat saudara-saudara ibunya itu. Rakan-rakan dagangan pun pulang lebih dulu meninggalkan dia. Dan merekalah yang menyampaikan berita sakitnya itu kepada ayahnya setelah mereka sampai di Mekah.

Jumpa lagi dalam siri yang akan datang!!!

No comments:

Post a Comment