Monday, December 29, 2008

Kedamaian, Keadilan, Kebebasan, Toleransi dan Kasih Sayang dari Kaca Mata Islam

Temubual bersama
Ustaz Mohd Rodzi Bin Mahmud
Guru Pendidikan Islam (B.Sya. (Hons) Universiti Al-Azhar)

En. Zuraidi :Assalamualaikum

Ustaz Rodzi :Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh

En. Zuraidi :Apakah pandangan ustaz tentang Islam dan kedamaian?

Ustaz Rodzi :Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Taala yang telah menyatukan umat manusia di atas nikmat Islam dan iman sebagai landasan terbaik untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Pertamanya, terima kasih di atas kesudian saudara menemubual ana. Di sini ingin ana nyatakan bahawa ana bukanlah seorang yang berilmu tetapi hanyalah sekadar berkongsi secebis ilmu yang Allah kurniakan. Berbalik kepada persoalan yang telah diutarakan tadi…

Apakah yang menjadikan Islam sebagai agama kedamaian? Secara asasnya nama Islam itu sendiri merupakan suatu hal yang amat unik. Buat pertama kali dalam sejarah agama di dunia bahwa ada agama yang secara harfiah (sebutan) yang membawa maksud kedamaian.

Perkataan Islam memiliki dua pengertian, pertama adalah tunduk dan penyerahan diri secara total kepada kehendak dan perintah Allah dan kedua, ertinya adalah kedamaian. Dapat ana tegaskan di sini, Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t sendiri. Allah s.w.t mempunyai pelbagai nama dan salah satunya adalah As-Salam yang bererti Pembawa Kedamaian.

Orang yang beriman kepada Islam disebut Muslim. Definisi dari seorang Muslim adalah seseorang yang sepenuhnya damai dengan dirinya sendiri dan yang mengembangkan kedamaian dalam masyarakat. Sebuah definisi yang menarik tentang erti kata Muslim diberikan oleh penegak agama Islam iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang menyatakan:

“Seorang Muslim adalah seorang yang dari tangan mahu pun lidahnya membolehkan semua orang menikmati keamanan dan keselamatan” (Riwayat Bukhari)

Dalam maksud sebenar, hanya orang yang tidak mendatangkan mudharat bagi orang lain sahaja yang boleh dikatakan sebagai Muslim.

Namun begitu, Islam sering menjadi mangsa fitnah dan tuduhan serta serangan yang tidak pernah padam. Semenjak dari zaman kelahirannya, Islam menjadi bahan tohmahan dengan pelbagai gambaran buruk seperti penganjur perpecahan, menggalakan diskriminasi terhadap kaum wanita, mempromosikan undang-undang yang kejam, membawa kepada kemunduran dan pelbagai lagi tuduhan. Malah Nabi Muhammad s.a.w seringkali ditohmah dengan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas sama sekali.

Hakikatnya Islam yang sinonim dengan maksud sejahtera dan keamanan adalah agama yang mempromosikan kedamaian di dalam setiap aspek ajarannya. Jika diteliti dan dihayati setiap sudut dari syariat Islam semuanya adalah berteraskan konsep harmoni dan kedamaian. Sebagai contoh, konsep aqidah dalam ajaran Islam adalah berteraskan kepada kewarasan akal yakni meyakini bahawa hanya ada satu tuhan sahaja yang layak disembah iaitu Allah. Manakala dari segi ibadat pula hendaklah tiada jurang atau perbezaan di kalangan sesama manusia di dalam beribadat.

En. Zuraidi :Bagaimana pula dengan konsep keadilan dalam Islam?

Ustaz Rodzi : Adil bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Lawan perkataan adil ialah zalim. Contoh mudah ialah meletakkan air dalam tangki minyak yang sudah tentu boleh menyebabkan kerosakan pada sesuatu enjin atau kenderaan. Itu zalim namanya.

Ana ingin sebut di sini, sebagai seorang muslim perlu menjaga perkara asas yang lima iaitu; menjaga agama, menjaga diri, menjaga harta, menjaga maruah/keturunan dan menjaga akal. Islam diturunkan oleh Allah untuk menjaga keadilan sejagat. Bukan sekadar untuk menjaga keadilan untuk manusia bahkan keadilan juga perlu untuk makhluk-makhluk Allah yang lain. Ini kerana satu daripada maqasid syar’iyah (prinsip syariat) adalah menegakkan keadilan di atas muka bumi Allah ini.

Allah menyatakan di dalam Al-Quran “ Dan hendaklah kamu menetapkan sesuatu hukuman dengan adil” dan banyak lagi ayat-ayat Al-Quran dan Hadith menegaskan tentang pentingnya keadilan dalam beragama.

Kadangkala kita terlepas pandang dalam mempraktikkan keadilan dalam diri kita. Sebagai contoh untuk menjaga agama, kita perlu menunaikan setiap amal ibadah yang telah Allah pertanggungjawabkan. Ini kerana sekiranya kita tidak menunaikan tanggungjawab tersebut balasan dosa akan diberatkan ke atas kita. Jadi kita menzalimi diri kita. Dalam contoh yang lain, Islam menitikberatkan menjaga maruah dan keturunan. Jadi Islam menetapkan haram kita melakukan hubungan luar nikah (zina). Itu juga menyebabkan kita menzalimi diri kita. Sebagai jalan keluar untuk menjaga maruah dan keturunan adalah melalui pernikahan.

Begitu juga dalam aspek-aspek kehidupan yang lain. Dalam aspek ekonomi, Islam mengharamkan riba kerana ia menindas golongan yang memerlukan. Tidak boleh membuat keuntungan melalui duit dengan duit. Namun, Islam amat menggalakkan perniagaan walaupun ia melibatkan keuntungan yang banyak. Dalam aspek pendidikan, adakah adil sekiranya hanya segelintir manusia sahaja yang berpeluang untuk mendapatkan pelajaran. Sedangkan wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah Iqra’ (Bacalah). Manakala dalam aspek sosial, konsep Islam lebih luas untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni. Baik untuk umat Islam mahupun bukan Islam. Dalam hal ini, prinsip kesamarataan sesama insan diamalkan kerana yang baik di sisi Allah adalah sesiapa yang paling kuat taqwanya kepada Allah Taala.

En. Zuraidi : Saya nak tanya lagi ni…Apakah yang dapat didefinisikan dengan kebebasan dalam Islam?

Ustaz Rodzi :Bebas ertinya merdeka daripada sebarang kekangan. Sebab itu hamba yang dibebaskan bermaksud merdeka daripada tindakan dan arahan tuan yang memilikinya. Islam datang kepada kita untuk mengelarkan kita daripada belenggu kejahilan kepada berilmu pengetahuan. Daripada gelap gelita kepada cahaya. Daripada kezaliman kepada keadilan. Daripada kemunduran kepada kemajuan. Dan yang lebih penting Islam datang untuk mengeluarkan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah Taala. Ertinya manusia yang beragama Islam yang disebut muslim itu bebas daripada gelap gelita, kejahilan, kemunduran, kezaliman dan sebagainya yang menyebabkan kehidupan manusia terkongkong.

Islam memberikan kebebasan untuk umatnya terus menuntut ilmu, terus berniaga, terus mereka cipta dan segalanya untuk memenuhi keperluan manusia sepanjang masa. Islam tidak menghadkan perlakuan dan aktiviti manusia. Ini kerana dalam Islam setiap amal perbuatan muslim yang boleh mendatangkan kebaikan sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk orang lain adalah dikira sebagai ibadah. Namun, kebebasan seorang muslim perlu dijaga bagi mengelakan daripada tersasar dan menyimpang daripada ajaran-ajaran Islam. Sebagai contoh, dalam kebebasan bersuara kita dilarang daripada mengungkapkan kata-kata yang boleh meyebabkan kita murtad. Manakala dalam kebebasan kelakuan, kita dilarang daripada menyembah berhala, matahari dan sebagainya yang menyebabkan kita syirik kepada Allah.
Contoh yang jelas tentang kebebasan dalam beragama dalam kita berdakwah kepada orang kafir ialah tiada paksaan dalam agama Islam. Perlu diperhatikan bahwa Islam sejak awal sudah menyatakan dan pernyataan ini berlaku sepanjang zaman serta ditujukan kepada segenap manusia. Al-Quran jelas menyatakan:
“Tidak ada paksaan dalam agama” (Al-Baqarah:257)

Bila kita telah memiliki ajaran Islam yang cantik dan indah, maka kita tidak akan memerlukan cara kekerasan atau pun pemaksaan. Islam tidak mengizinkan penggunaan kekerasan untuk menarik orang ke dalam agama.

Islam menegakkan dan menjamin kebebasan memilih, baik dalam cara beribadah, cara pengembangan mau pun pelaksanaan agama. Sesiapa yang memilih untuk beriman maka ia akan mendapat ganjaran, sedangkan mereka yang tidak mahu beriman juga tidak akan dipaksa untuk itu.


En. Zuraidi :Menarik untuk dikupaskan…terima kasih ustaz. Bagaimana pula pandangan Islam tentang toleransi?

Ustaz Rodzi :Islam menekankan keimanan kepada semua nabi dari semua agama dan kepada kitab-kitab suci yang diwahyukan oleh Allah kepada mereka. Islam berpandangan bahwa semua agama besar iaitu yahudi dan nasrani (kristian) pada awal pembentukannya pasti didasarkan pada kebenaran dan tetap mengandung nilai-nilai luhur. Islam menolak anggapan yang menyatakan bahwa agama lain tidak akan membawa keselamatan. Semua agama besar dihargai dan dihormati dengan baik. Umat Muslim diwajibkan menghormati tempat-tempat ibadah agama lain. Rasa hormat juga ditunjukkan kepada ahli kitab serta nabi pendiri agama mereka.
Itu secara dasar dan asasnya. Islam menggalakkan sikap toleransi atau tolak ansur dalam segenap keputusan yang dibuat. Namun, sikap toleransi ini bukanlah bermaksud secara sewenang-wenangnya. Toleransi dalam Islam adalah perlu tetapi tidak sampai menggadaikan prinsip dan syariat dalam Islam. Dalam Surah al-Kafirun ayat 1-6 jelas menyebut tentang konsep toleransi.
“ Katakanlah wahai Muhammad, wahai orang-orang yang tidak beriman!(1) Aku tidak akan sembah apa yang kamu sembah(2) Dan kamu tidak sembah Allah yang aku sembah(3) Dan aku tidak akan sembah apa yang telah kamu sembah(4) Dan kamu tidak sembah Allah yang aku sembah(5) Maka bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku(6)

En. Zuraidi : Satu soalan lagi ustaz, Bagaimanakah konsep kasih sayang pada pandangan Islam?
Ustaz Rodzi : Rasulullah ada menyatakan dalam hadith: “Sesiapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi”. Dalam hadith yang lain: “ Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga ia kasih pada saudaranya sepertimana apa yang dia kasihi”.
Islam agama kasih sayang. Kerana itulah Islam amat menekankan tentang konsep kasih sayang. Kasih pada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kita juga percaya bahawa hanya dengan kasih sayang yang cukup dapat melahirkan insan yang mempunyai jati diri, wibawa, ketrampilan dan unggul sepertimana yang dikehendaki agama Islam.
Kasih pada ibu bapa, cinta pada isteri dan sayang pada anak pada hakikatnya terus berlangsung sepanjang hayat dikandung badan. Begitu juga kasih sayang sesama umat Islam sewajibnya utuh dan erat sepanjang masa dan diperkukuhkan tali persaudaraan. Bahkan jika kita tidak bertegur sapa dengan saudara sesama Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya sudah pun jatuh haram.

Ternyata amalan atau budaya Islam jauh lebih baik daripada budaya asing yang semakin banyak menghiasi pentas kehidupan umat Islam.
Islam menggalakkan umatnya kasih- mengasihi sesama mereka dengan mengamalkan budaya menyebarkan salam, saling bertukar hadiah, ziarah-menziarahi, berkongsi suka-duka, tumpang bersyukur kesenangan dan bersimpati apabila ditimpa malapetaka.
Rasulullah S.A.W kerap menziarahi orang sakit dan tidak ketinggalan mengunjungi orang yang meninggal dunia biarpun berlainan kaum atau agama. Malah, perbezaan agama, kaum atau keturunan tidak menyebabkan permusuhan dan pertelagahan kaum. Sebaliknya, mereka saling bantu membantu, bekerjasama dan berganding bahu untuk membangunkan Madinah ketika itu. Perbezaan akidah atau agama bukan penghalang ke arah mewujudkan hubungan kemanusiaan yang harmoni dan akrab.

Dalam erti kata lain, berkasih sayang menurut perspektif Islam amat luas dan tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja. Wallahua’lam.

En. Zuraidi : Terima kasih banyak-banyak ustaz atas penjelasan yang diberikan.

Ustaz Rodzi : Sama-sama... Mudah-mudahan perjumpaan kita dirahmati dan diberkati Allah Taala.

No comments:

Post a Comment