Tuesday, December 30, 2008

Pengumpulan Harta

Secara asasnya, manusia adalah khalifah di atas muka bumi Allah ini. Manusia telah ditaklifkan Allah untuk mentadbir alam ini dengan seadilnya. Sebab itulah Allah menurunkan agama Islam sebagai landasan kehidupan manusia. Dalam Islam yang terdiri di dalamnya 3 komponen utama iaitu akidah, syariah dan akhlak.

Dalam akidah, umat Islam terikat dengan konsep mengenal Allah Taala sebagai tuhan yang disembah dan tiada yang disembah selain daripadanya.

Manakala dalam syariah inilah pelbagai peraturan hidup dan undang-undang telah ditentukan oleh Allah bagi mengatur setiap aktiviti umat Islam agar tidak lari daripada landasan yang telah diatur oleh Allah. Dalam syariah inilah terangkum di dalamnya fiqh ibadat, fiqh munakahat, fiqh muamalat dan fiqh jenayah dan perlantikan pemimpin.

Adapun daripada aspek akhlak pula, akhlak adalah hasil yang lahir daripada kesempurnaan pelaksanaan perintah Allah dalam akidah dan syariat.

Itu secara asas yang perlu difahami oleh setiap muslim.

Kembali kepada topik asal, perbincangan tentang pengumpulan dan pengagihan harta. Sedikit sebanyak ia telah termaktub dalam fiqh muamalat. Fiqh muamalat bermaksud transaksi, komunikasi dan perlakuan umat Islam dalam aktiviti antara seorang muslim dengan muslim atau seorang muslim dengan bukan muslim. Jadi, Allah telah menentukan kaedah-kaedah dan cara bagi manusia menjalani aktiviti tersebut.

Daripada awal telah ana nyatakan, manusia adalah khalifah di atas muka bumi ini. Alam bumi ini kaya dengan segala kurniaan Allah yang dikurniakan atas nama Rahman dan Rahim Allah. Jadi, segala kurniaan Allah semestinya perlu ditadbir dan diurus dengan bijaksana dan adil sama ada daripada cara kita mengumpulkan atau mengagihkan apa sahaja yang kita dapati daripada alam ini.

Islam tidak sesekali melarang umatnya mengumpul harta. Kerana keperluan manusia untuk meneruskan kehidupan yang memerlukan sumber pendapatan yang berhajatkan kepada pengumpulan harta tersebut.

Dalil atau bukti banyak dinyatakan dalam al-Quran dan Hadith tetapi tak dapat ana sebut dengan jelas di sini. Salah satu hadith ada dinyatakan Rasulullah bahawa kita akan ditanya di padang mahsyar kelak tentang beberapa perkara; salah satunya tentang harta. Daripada sumber mana yang kita dapat dan ke mana kita belanjakan. Daripada kefahaman hadith ini, jelas kepada kita bahawa mengumpul harta tidak salah tetapi yang dipersoalkan ialah sumber yang kita dapat dan di mana kita infaq atau belanjakan.

Di bawah ini, ana senaraikan serba sedikit tentang sumber pengumpulan harta:

1.al-buyu' (jual beli/perniagaan) ertinya satu akad untuk menukar sesuatu dengan sesuatu yang lain dan dipersetujui bersama.
Hukumnya adalah disyariatkan Allah.
Dalil: al-Baqarah ayat 275.
Hikmat disyariatkan jual beli ialah memenuhi keperluan dan hajat manusia untuk mendapatkan sesuatu yang diperlukan tanpa mendatangkan kemudoratan.

2.as-syarikah (syer perniagaan) ertinya berkongsi dua orang atau lebih pada apa yang harus dilaburkan dengan kadar harta untuk dikembangkan harta tersebut dan dibahagikan dengan kadar yang disepakati.
Hukumnya adalah disyariatkan Allah.
Dalil: an-Nisa' ayat 12

3.al-mudorobah (pelaburan) ertinya seseorang yang mempunyai modal dan memberikannya kepada orang lain untuk dilaburkan dengan pembahagian tertentu.
Hukumnya: Disyariatkan dengan Ijmak para sahabat dan para pemimpin umat Islam di atas mengharuskan mudorobah. Dan sesungguhnya mudorobah juga diamalkan pada zaman Rasulullah dan baginda mengakuinya.

4.al-muzaroah (pertanian) ertinya seorang lelaki membayar seseorang yang lain untuk mengerjakan tanah yang dimilikinya dengan sebahagian ganjaran yang disepakati.
Hukumnya: Jumhur para sahabat, Tabi'in dan pemimpin umat Islam.

5.al-ijarah (sewa) ertinya satu akad yang diadakan untuk mendapat manfaat tempoh tertentu dengan bayaran tertentu.
Hukumnya harus.
Dalil: al-Kahfi ayat 77

6.al-jua'lah (upah) ertinya seseorang membayar seseorang yang lain untuk melakukan sesuatu kerja dengan bayaran yang tertentu.
Hukumnya harus.
Dalil: Yusuf ayat 72

Rujukan: Minhaj al-Muslim
Pengarang: Abu Bakar Jabir al-Jazairi
Terbitan: Maktabah Darus Salam
Bab Muamalat: muka surat 283-306

No comments:

Post a Comment