Saturday, February 14, 2009

Valentine's Day : Pak Turut Barat @ Jahil pada Agama

Assalamualaikum...alfaaizy berbicara lagi. Namun pada kali ini, topik yang agak hangat kita bicarakan iaitu bolehkah kita sambut Hari Kekasih @ Valentine's Day?

Khutbah yang ana sampaikan Jumaat kelmarin dan mungkin serentak di seluruh negara, adalah satu usaha untuk memberi kefahaman kepada umat Islam tentang bahayanya melakukan sesuatu amalan secara ikutan sahaja. Dengan erti kata yang lain "pak turut" lah. Melakukan sesuatu tanpa ada asas ilmu pengetahuan yang cukup.

Secara asasnya, kita umat Islam sewajibnya mendalami ilmu pengetahuan untuk mengelakkan kita terjerumus ke lembah kejahilan dan kehinaan. Justeru, panduan ilmu pengetahuan yang mantap dan lengkap segalanya telah terungkap dalam al-Quran.

Al-Quran ada menyatakan dalam Surah al-Baqarah ayat 120: "Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka".

Sambutan Hari Kekasih @ Valentine's Day adalah satu daripada upacara istiadat atau ritual yang sinonim bagi orang kristian. Amalan sambutan ini bercampur dengan maksiat dan bercanggah dengan ajaran Islam. Hujahnya, Hari Kekasih @ Valentine's Day berkait rapat dengan sejarah, tradisi dan ajaran kristian:

1) Hari mengingati kekasih @ Valentine's Day bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi Orang Jono atau dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya bermula mula pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas tersebut dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta itu.

2) Pendapat kedua menyatakan, pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II. Pada waktu itu, Raja Claudius II telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat dengan peperangan. Disebabkan larangan itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang kristian secara rahsia. Akibatnya, St. Valentine ditangkap, disebat hingga mati dan kepalanya dipenggal pada 14 Februari 270 Masihi. Bagi memperingati sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahannya, maka 14 Februari dijadikan hari memperingatinya sebagai uapacara keagamaan.

Semoga dengan perkongsian ilmu yang sedikit ini dapat menyelamatkan kita daripada terus menyambut Hari Kekasih agar akidah kita, ibadah kita, muamalah kita dan akhlak kita terus terpelihara daripada dipesongkan oleh golongan yang dimurkai Allah dan golongan yang sesat.

Nukilan bersumber:
Teks Khutbah 13 Februari 2009
"Menjauhi Budaya Songsang: Valentine"s Day



No comments:

Post a Comment